Apa itu qasidah burdah
Qasidah Burdah dikarang oleh Imam al-Busiri yang dilahirkan pada tahun 610 Hijrah (1213 Masehi) dan meninggal dunia pada tahun 695 Hijrah (1296 Masehi). Beliau telah diasuh oleh ayahandanya sendiri dalam mempelajari al-Quran dan ilmu pengetahuan yang lain. Untuk memperdalamkan lagi ilmu agama dan kesusasteraan Arab, Imam al-Busiri lalu berhijrah ke Kaherah. Di Kaherah, Imam al-Busiri menjadi seorang sasterawan dan penyair yang ulung. Kemahirannya didalam bidang syair mengatasi para penyair lain dizamannya. Karya-karya kaligrafinya juga terkenal dengan keindahannya. Gurunya yang paling utama ialah Abdul Abbas al-Mursi yang merupakan anak murid kepada pengasas tariqat Shazili iaitu Imam Abul Hasan as-Shazili.
Qasidah Burdah mengandungi 160 bait yang ditulis dengan gaya bahasa atau uslub yang menarik, lembut dan elegan. Imam al-Busiri menterjemahkan kehidupan Nabi Muhammad saw kedalam bentuk bait-bait puisi yang sangat indah. Dengan bahasa yang sebegitu indah, Imam al-Busiri telah berhasil menanamkan kecintaan dan kasihnya umat Islam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dengan lebih mendalam. Selain dari rasa kecintaan dan kasih yang mendalam terhadap Nabi saw, nilai-nilai sastera, sejarah dan moral turut terkandung dalam qasidah tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah apabila qasidah ini sentiasa sahaja dibaca di institusi-institusi pengajian tradisional malah qasidah ini turut diajar di Universiti al-Azhar, Mesir.
Imam al-Busiri hidup dalam zaman transisi atau perpindahan kuasa dinasti Ayyubiyyah kepada dinastik Mamalik Bahriyah. Pada ketika itu, pergolakan politik semakin gawat, akhlak masyarakat merosot dan para pemerintah terlalu mengejar kemewahan. Maka dalam suasana serba kekalutan itu, muncullah Qasidah yang dikarang oleh Imam al-Busiri yang seakan-akan mengajak manusia kembali mencontohi kehdupan Nabi saw yang berasaskan uswatun hasanah yakni suri tauladan yang baik, mengawal hawa nafsu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang berasaskan al-Quran dan Hadith.
Burdah yang menjadi tema utama dalam karya al-Busiri itu adalah merujuk kepada jubah yang dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Burdah milik Nabi Muhammad saw ini telah diberikan kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma, seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam). Riwayat pemberian burdah oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab bin Zuhair bermula apabila Ka’ab sentiasa menggubah syair yang mengejek-ejek Nabi saw dan para sahabat. Kerana rasa jiwanya terancam, ia lari bersembunyi untuk melindungi diri dari kemarahan para sahabat. Ketika terjadi penaklukan Makkah, saudara Ka’ab yang bernama Bujair bin Zuhair mengutus surat kepadanya yang isinya antara lain menganjurkan Ka’ab agar pulang bertaubat dan berjumpa Rasulullah saw.
Setelah memahami isi surat itu, Ka’ab pun pulang ke rumah dan bertaubat. Ka’ab lalu berangkat menuju ke Madinah. Menerusi Abu Bakar as-Siddiq, Ka’ab menyerahkan diri kepada Rasulullah saw. Ka’ab mendapat penghormatan yang tinggi dari Rasulullah saw sehinggalah baginda melepaskan burdahnya dan diberikan kepada Ka’ab. Ka’ab kemudiannya menggubah sebuah qasidah yang dikenali dengan nama Qasidah Burdah. Qasidah ini ditulis dengan indah oleh seorang ahli kaligrafi, Hasyim Muhammad al-Baghdadi didalam kitab kaligrafinya yang berjudul Qawaid al-Khat al-Arabi. Burdah yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab kemudiannya menjadi milik keluarga Ka’ab sehinggalah ia dibeli oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dengan harga dua puluh ribu dirham.
Diringkaskan sehingga bagaimana Qasida Burdah ini menjadi terkenal bermula apabila Imam al-Busiri tiba-tiba jatuh sakit dan diserang penyakit Syalal (lumpuh). Mengikut catatan ahli tarikh, beliau lumpuh separuh badan. Tabib-tabib yang terkemuka gagal mengubat penyakitnya. Dalam keadaan kesakitan dan tidak berdaya, Imam al-Busiri mengarang qasidah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad saw. Qasidah-qasidah ini disusun dengan begitu indah dan diulang-ulang oleh Imam al-Busiri. Kemuncaknya,pada satu malam ketika Imam al-Busiri tertidur, beliau bermimpi melagukan qasidah-qasidah yang dikarangnya di hadapan Baginda Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw dalam mimpi tersebut begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut, lantas baginda mengusap muka Imam al-Busiri dengan kedua-dua tangan baginda yang mulia. Rasulullah saw turut menyentuh bahagian tubuh Imam al-Busiri yang lumpuh dan memakaikan Imam al-Busiri dengan burdah baginda.
Sebaik sahaja tersedar dari mimpi tersebut, Imam al-Busiri mendapati beliau tidak lagi lumpuh! Imam al-Busiri dengan segera keluar dari tempatnya untuk menceritakan kisahnya kepada orang lain.
“Aku bermimpi malam tadi bahawa Nabi SAW didendangkan dengan qasidah-qasidah yang cukup indah yang memuji baginda. Aku lihat baginda begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut dan memakaikan pakaian baginda (burdah) kepada orang yang melagukan qasidah tersebut…Dan aku melihatmu dalam mimpiku!”